Monday, June 7, 2010

Perasmian Portal Pendidikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan

Ucapan Timbalan Menteri Pendidikan

Y.B. Dato’ Aziz Shamsuddin di Pelancaran Perasmian Portal Pendidikan Interaktif SCORE A PROGRAMME™ pada 25 Ogos 2002

Syabas kepada Edu-2U Portal Sdn.Bhd atas usaha mereka kerana mampu menganjurkan program ini dengan jayanya.

Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi. Pengaruh globalisasi menjangkau ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideology, pendidikan dan dari segenap aspek kehidupan masyarakat. Perubahan teknologi terutamanya perkembangan pesat yang berlaku dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah mengubah cara kita berfikir dan berkomunikasi.

Generasi muda harus mempunyai ilmu dan kemahiran dalam teknologi ini. Disinilah rasionalnya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak merealisasikan matlamat ini dalam pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah ke peringkat pengajian tinggi. Anjakan paradigma harus berlaku kerana masa tidak menunggu kita lagi. Warga pelajar harus disediakan untuk menguasai dan menerokai medium teknologi maklumat dan perkembangan ilmu pengetahuan untuk memampukan mereka mampu bersaing dalam dunia global.

Gelombang baru yang berlaku dalam pendidikan dengan menggunakan teknologi maklumat wajib diterima.

Keprihatinan kerajaan dalam isu ini di kalangan generasi muda sepatutnya disahut oleh semua pihak bagi memastikan kemampuan kita bersaing menguasai maklumat serba canggih. Perjuangan bangsa bukan sahaja terletak diatas bahu kita tetapi kita harus berganding bahu dengan generasi sekarang. Disini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan cita-cita murni ini.

Bertitik tolak dari inilah usaha Edu-2U Portal Sdn.Bhd. harus dipuji. Inisiatif syarikat ini harus dilanjutkan ke seluruh negara. Badan-badan kerajaan dan swasta sepatutnya mengambil tanggungjawab dan bertindak untuk memastikan usaha ini direalisasikan.

Saya telah dimaklumkan juga bahawa syarikat Edu-2U Portal Sdn.Bhd. merupakan syarikat perintis menghasilkan program yang komprehensif untuk pelajar.

Lebih membanggakan modul pembelajaran yang disediakan bersifat interaktif
dan dwibahasa. Kejayaan inovatif ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap
kemampuan pelajar dalam menguasai Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Usaha untuk melahirkan portal pendidikan interaktif Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ini amat saya kagumi. Teknologi berubah menuntut semua perubahan termasuk cara kita belajar. Saya yakin jika program ini dimanfaatkan dengan baik ia dapat menbantu pelajar kita dalam penguasaan bahasa, ilmu matematik dan sains.

Syabas sekali lagi kepada Edu-2U Portal Sdn.Bhd yang menunjukan keprihatinan mereka untuk menyahut gelombang baru dalam dunia pendidikan. Portal pendidikan interaktif ini mampu melahirkan masyarakat celik IT yang bermula dari peringkat kanak-kanak seiring dengan berpatah Melayu “ Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya”

Dengan kata kata itu, maka saya dengan besar hati merasmikan Pelancaran Portal Pendidikan Interaktif Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.